1. Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 17 seksyen yang berikut:
17A. (1) Suatu organisasi komersial melakukan kesalahan jika seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial itu secara rasuah memberikan, bersetuju untuk memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang apa-apa suapan sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain dengan niat—
(a) untuk memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau
(b) untuk memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.
(2) Mana-mana organisasi komersial yang melakukan kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau satu juta ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.
(3) Jika sesuatu kesalahan dilakukan oleh organisasi komersial, seseorang—
(a) yang menjadi pengarah, pengawal, pegawai atau pekongsinya; atau
(b) yang terlibat dengan pengurusan hal ehwalnya,
pada masa kesalahan itu dilakukan, disifatkan telah melakukan kesalahan itu melainkan jika orang itu membuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa keizinannya atau pembiarannya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha yang wajar dilakukannya untuk menghalang pelakuan kesalahan itu dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan kepada hal keadaan.
(4) Jika suatu organisasi komersial dipertuduh bagi kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1), menjadi pembelaan bagi organisasi komersial itu untuk membuktikan bahawa organisasi komersial itu mempunyai tatacara yang mencukupi untuk menghalang orang yang bersekutu dengan organisasi komersial itu daripada melakukan perbuatan itu.
(5) Menteri hendaklah mengeluarkan garis panduan yang berhubungan dengan tatacara yang disebut dalam subseksyen (4).
(6) Bagi maksud seksyen ini, seseorang itu bersekutu dengan organisasi komersial jika dia ialah seorang pengarah, pekongsi atau pekerja organisasi komersial itu atau dia ialah orang yang melaksanakan perkhidmatan untuk atau bagi pihak organisasi komersial itu.
(7) Persoalan sama ada seseorang melaksanakan perkhidmatan untuk atau bagi pihak organisasi komersial atau tidak hendaklah ditentukan dengan merujuk kepada semua hal keadaan yang berkaitan dan bukan hanya dengan merujuk kepada sifat hubungan antara dia dengan organisasi komersial itu.
(8) Bagi maksud seksyen ini, “organisasi komersial” ertinya—
(a) suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain;
(b) suatu syarikat di mana jua diperbadankan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia;
(c) suatu perkongsian—
(i) di bawah Akta Perkongsian 1961 [Akta 135] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain; atau
(ii) yang merupakan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 [Akta 743] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain; atau
(d) suatu perkongsian di mana jua ditubuhkan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia.”